𝐌𝐄𝐒𝐘𝐔𝐀𝐑𝐀𝐓 𝐉𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍𝐊𝐔𝐀𝐒𝐀 𝐓𝐄𝐊𝐍𝐈𝐊𝐀𝐋 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐍𝐂𝐀𝐍𝐆 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐁𝐈𝐋. 𝟒/𝟐𝟎𝟐𝟔
KANGAR, 27 JULAI 2026 | Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perancang Negeri Bil. 4/2026 telah diadakan pada hari ini bagi membincangkan permohonan rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] bagi cadangan pembangunan Bangunan Tambahan Bilik Penginapan Lain-Lain Pangkat (LLP) Rejimen Renjer Diraja (4 RRD), Kem Bukit Cowder, Perlis.
Cadangan pembangunan ini melibatkan pembinaan satu (1) blok penginapan empat (4) tingkat serta satu (1) unit rumah pam berserta tangki sedut dan tangki hose reel di atas sebahagian Lot 1131, Mukim Oran, Perlis untuk Kementerian Pertahanan Malaysia.
Mesyuarat ini menjadi platform penyelarasan teknikal antara jabatan dan agensi berkaitan bagi meneliti aspek perancangan, infrastruktur, utiliti, saliran, keselamatan serta keperluan teknikal lain bagi memastikan cadangan pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan mematuhi dasar, garis panduan serta peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.
PLANMalaysia Perlis sentiasa komited dalam memastikan setiap cadangan pembangunan di Negeri Perlis dilaksanakan secara terancang, selamat dan mampan, selaras dengan aspirasi perancangan pembangunan Negeri Perlis.