Program Bandar Selamat
Pengenalan
Program Bandar Selamat mula diperkenalkan pada tahun 2004 dengan memperkenalkan tiga (3) dan 23 langkah pelaksanaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Pada tahun 2010, program ini menjadi salah satu inisiatif menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11), Program Bandar Selamat diberikan keutamaan untuk dilaksanakan seperti yang terkandung dalam Bidang Fokus C: Bab 4 Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat : Mewujudkan Persekitaran Hidup Lebih Selamat Untuk Masyarakat Yang Berdaya Maju dan Sejahtera. Tiga (3) strategi utama dan 15 langkah Bandar Selamat telah diperkenalkan semula.
Inisiatif Pemutihan Kawasan Blackspot di bawah Program Bandar Selamat diperkenalkan dengan fokus utama untuk mengurangkan kadar jenayah dan untuk meningkakan persepsi rasa selamat di kalangan orang awam. Blackspot merupakan kawasan yang menimbulkan perasaan tidak selamat dari segi jenayah (fear of crime) dan mempunyai rekod jenayah yang tinggi.
Inisiatif ini mula dilaksanakan pada tahun 2013. Kawasan blackspot ditentukan oleh PBT dengan mendapat persetujuan PDRM yang mana telah dibentangkan dan diperakui dalam Mesyuarat Majlis Penuh PBT.
Tiga (3) skop utama pelaksanaan program pemutihan kawasan blackspot:
-
Projek Fizikal
Pelaksanaan projek fizikal meliputi Langkah-langkah Bandar Selamat iaitu:
a. Pencahayaan;
b. Laluan pejalan kaki khusus;
c. Rel penghadang;
d. Tempat letak motorsikal berkunci;
e. Papan tanda keselamatan;
f. Cermin keselamatan; dan
g. Redaan trafik
Peruntukan untuk pelaksanaan projek ini disalurkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku peneraju NKRA Mengurangkan Jenayah.

Pemasangan Papan Tanda Keselamatan di hadapan hospital di Pekan Masai, Pasir Gudang

Laluan pejalan kaki dan rel penghadang di sebahagian Jalan Angsana & Jalan Thean Teik dan sekitar Timur Laut Pulau Pinang
ii. Program Sosial
Program-program berbentuk sosial dan kemasyarakatan yang akan dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan seperti gotong royong, pemulihan serta rawatan dadah, sesi dialog bersama penduduk dan sebagainya.

iii. Operasi Keselamatan
Aktiviti penguatkuasaan keselamatan seperti rondaan bersepadu oleh PDRM, PBT, Rela, KRT, operasi PATI, Community Policing dan sebagainya.
