𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐊𝐄𝐍𝐃𝐔𝐑𝐈 𝐑𝐀𝐊𝐘𝐀𝐓 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐒𝐄𝐌𝐏𝐄𝐍𝐀 𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓𝐀𝐍 𝐉𝐔𝐁𝐋𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐌𝐄𝐑𝐈𝐍𝐓𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐃𝐘𝐌𝐌 𝐓𝐔𝐀𝐍𝐊𝐔 𝐑𝐀𝐉𝐀 𝐏𝐄𝐑𝐋𝐈𝐒
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐊𝐄𝐍𝐃𝐔𝐑𝐈 𝐑𝐀𝐊𝐘𝐀𝐓 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐒𝐄𝐌𝐏𝐄𝐍𝐀 𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓𝐀𝐍 𝐉𝐔𝐁𝐋𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐌𝐄𝐑𝐈𝐍𝐓𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐃𝐘𝐌𝐌 𝐓𝐔𝐀𝐍𝐊𝐔 𝐑𝐀𝐉𝐀 𝐏𝐄𝐑𝐋𝐈𝐒
Kuala Perlis, 13 April 2026 – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perlis (PLANMalaysia Perlis) telah bersama-sama menjayakan Majlis Kenduri Rakyat 2026 sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.
Majlis bersejarah ini telah diserikan dengan keberangkatan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis, serta diiringi oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.
Sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap program negeri, PLANMalaysia Perlis telah mengambil bahagian dengan menyediakan juadah tradisional iaitu lemang lerek bersama rendang kepada para pengunjung. Sebanyak 350 batang lemang telah diagihkan dan mendapat sambutan amat menggalakkan sehingga habis pada jam 2.30 petang.
Majlis ini berjaya menghimpunkan hampir 50,000 pengunjung, mencerminkan semangat perpaduan, kebersamaan serta kesetiaan rakyat Negeri Perlis kepada pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis. Program seperti ini bukan sahaja memupuk hubungan erat antara pemimpin dan rakyat, malah turut memartabatkan warisan budaya serta menyemai nilai kekitaan dalam masyarakat.
PLANMalaysia Perlis amat berbesar hati dapat turut serta dalam menjayakan program berimpak tinggi ini dan akan terus komited menyokong inisiatif kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan serta pembangunan mampan Negeri Perlis.































